Laporan ABJZ Universiti Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak

Tema Program: Anda Bijak Jauhi Zina

Anjuran:Pengajian Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga (ERT), UPSI.

Tarikh / Tempat: 28 Ogos 2009, Dewan Kuliah A, UPSI

Objektif :
1. Membentuk mahasiswi menjadi insan yang berakhlak mulia, mampu berfikir secara rasional dan mempunyai matlamat hidup yang jelas.
2. Menerap nilai-nilai murni dan adab ketimuran dalam pembentukan akhlak mahasiswi.
3. Melahirkan bakal pendidik yang menjadi contoh kepada anak bangsa.
4. Memupuk sikap sayangkan diri sendiri melalui gaya hidup sihat.

Tempoh 10.00 pagi – 1.35 petang

Sasaran Pelajar Semester I, ERT

Kehadiran 94 orang

Cara Pelaksanaan / Modus Operandi Ceramah :
(1) “Mind Setting” - Rosmawati Zainal
(2) Remaja & Cinta – Rosmawati Zainal
(3) Penciptaan Manusia, Seks & Akibat – Yusnani Abdul Hamid
(4) Kalau tak ‘couple’ Macamana nak kawin ?– Siti Aini Jamil

Pembantu : Nurbaidura

Keputusan / Penilaian - ‘Feed back’ yang positif dari peserta-peserta dan penasihat pelajar, Dr Fauziah Hanim Bt Abd Jalal (Pensyarah Kaunseling & Keibubapaan).

- Berjaya memberi pendedahan bahaya seks iaitu pengguguran tidak selamat dan kesan penyakit berjangkit.

- Memberi panduan menjaga batas perhubungan lelaki dan perempuan sebelum berkahwin.
Ulasan / Impak Seorang pelajar telah pengsan semasa pengguguran bayi bagi kes kehamilan yang tidak dikehendaki sedang disampaikan.

Dokumentasi Sokongan Hasil soal selidik :
68% sedang bercinta, 54%keluar dengan pasangan, 2% megadakan hubungan seks.

Pelapor Siti Aini Amil

Berita ABJZ 28 Ogos : ABJZ Sepanjang Ogos 2009


Assalamualaikum wbt…


Alhamdulillah, penganjuran program Anda Bijak Jauhi Zina ( ABJZ ) terus dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Jzkk dan tahniah kepada semua pihak yang bersama-sama dengan RS dalam menjayakan program ABJZ.

Sebagai perkongsian, disenaraikan beberapa aktiviti ABJZ yang telah diadakan sepanjang

bulan Ogos 2009.


  1. 05 Ogos 2009 – SMK Cheras Perdana
  2. 07 Ogos 2009 – SAM Sg Merab
  3. 13 – 15 Ogos 2009 – Kursus Pembinaan Diri Bersama Mahasiswa UUM di Nur Bukit Hijau , Kulim , Kedah
  4. 15 Ogos 2009 – UiTM Arau, Perlis
  5. 19 Ogos 2009 – SMK Seksyen 27 Shah Alam
  6. 21 Ogos 2009 – SMK Kiara Mas
  7. 28 Ogos 2009 – Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) , Tanjung Malim


Nantikan perkongsian seterusnya untuk program ABJZ yang akan datang.


Bagi yang berminat menganjurkan ABJZ di lokaliti masing-masing atau ingin mendapatkan bahan-bahan ABJZ, sila hubungi Puan Munirah Al-Mubarak, Esekutif Pentadbiran RS Pusat di talian, 03-41089669 dan 03-41073379.

Salam Ramadhan

“Ahlan Wa Sahlan, Marhaban Ya Ramadan”
Bulan dimana nafas kita menjadi tasbih, tidur kita menjadi ibadah , amal kita diterima dan doa kita di ijabah.
Sabda Rasulullah SAW:“Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yg penuh keberkatan,Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibukakan segala pintu surga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan.Padanya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan pada malam itu,maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan”.
Dalam hitungan jam telah jelang Ramadhan nan suci, Maaf dipinta setulus hati akan khilaf yang selama ini terjadi Taqobalallahu minna wa minkum, mohon maaf lahir batin atas segala kesalahan saya.
Saya ucapkan selamat menjalani ibadah Puasa Ramadhan. Semoga amal ibadah kita semua diterima ALLAH SWT.

Bayi hancur dimakan biawak

Petikan berita KOSMO.

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my


KUANTAN - Beberapa orang pekerja sebuah kilang pemprosesan makanan, Ocean Fresh Sdn. Bhd. pada mulanya ternampak sebungkus beg plastik sampah di tepi Sungai Kuantan dekat Kampung Peramu, di sini petang kelmarin tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Sangkaan mereka ialah bungkusan yang sudah mula mengeluarkan bau busuk itu mungkin ada bangkai ayam atau itik.

Namun, ia memerlukan `kerja` seekor biawak untuk membuktikan mereka salah.

Pada kira-kira pukul 11 pagi semalam, beberapa pekerja termasuk Pengurus Pemasaran Produk kilang itu, Teresa Tng tidak akan dapat melupakan peristiwa melihat sendiri biawak itu membaham isi bungkusan tersebut yang rupa-rupanya mayat bayi.

''Kami pada mulanya menyangka dalam bungkusan itu ada bangkai itik atau ayam.

''Pagi tadi (semalam), kami lihat seekor biawak sebesar betis sedang selongkar beg plastik itu dan terperanjat apabila lihat benda yang dimakannya adalah mayat bayi,jelas Teresa ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Perbuatan keji pihak yang membuang bayi tidak berdosa itu menyebabkan mayat tersebut cuma tinggal kepala dan tangan kanan manakala bahagian tubuh yang lain sudah diratah biawak tersebut.


Inilah di antara musibah bila zina berleluasa di dalam masyarakat.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiunn...


Cikgu Siti

Program ABJZ yang akan dilaksanakan sepanjang bulan Ogos 2009


Akan dilaksanakan:-

1. 05 Ogos 2009 - SMK Cheras Perdana

2. 07 Ogos 2009 - SAM Sungai Merab

3. 13 - 15 Ogos 2009 - Kursus Pembinaan Diri bersama Mahasiswa UUM

4. 15 Ogos 2009 - ABJZ di UiTM Arau, Perlis

5. 19 Ogos 2009 - SMK Syeksyen 27 Shah Alam

6. 21 Ogos 2009 - SMK Kiara Mas.

Seks Luar Nikah dikalangan Remaja Kini..



Oleh Diyanah Anuar
Petikan dari akhbar sisipan Ikon

Mengapa remaja `menghalalkannya’? Di era kemajuan kini, ramai yang lebih terbuka dalam membicarakan perihal seks dari pelbagai sudut dan perspektif walaupun masih ada yang menganggap ia sesuatu yang ‘taboo’ (pantang) dan tidak manis diperkatakan, terutamanya oleh mereka yang belum berkahwin.Lupakan sejenak perbezaan kedua-dua pendapat ini kerana realitinya, semakin ramai remaja terbabit dalam aktiviti seks luar nikah dewasa ini.

Mengikut Tinjauan Seks Sejagat Durex 2004 – membabitkan 350,000 responden dari 41 negara – secara purata, seseorang mula melakukan hubungan seks buat pertama kali – hilang dara atau teruna – antara usia 16 tahun dan 20 tahun atau purata usia 17.7 tahun.

Remaja Malaysia? Secara purata, remaja Malaysia melakukan seks kali pertama pada usia 19.3 tahun berbanding 20 tahun pada 2001 sedangkan kajian Persekutuan Persatuan-persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (PPPKM) mendapati usia sesuai untuk berkahwin di Malaysia bagi lelaki adalah 28 tahun dan 25 tahun bagi perempuan berbanding masing-masing 21 tahun dan belasan tahun, dulu.

Sukar untuk mempercayai perkara sedemikian berlaku di kalangan masyarakat yang membesarkan anak kecil mereka dengan gambaran bahawa seks adalah satu perkara yang ‘tidak baik’ melainkan adanya ikatan perkahwinan antara dua pasangan lelaki dan perempuan.

Adakah remaja hari ini tidak menerima lagi pandangan dan `didikan’ ini hanya kerana dunia dan masyarakat semakin moden, dunia tanpa sempadan dan globalisasi yang penuh mencabar?

Tidakkah mereka memikirkan masa depan yang akan gelap jika hamil sebelum berkahwin? Apakah yang akan terjadi pada persekolahan atau kerjaya mereka? Sekolah terbiar, kerjaya tergugat.

Belum lagi mengambil kira malu pada diri, keluarga dan masyarakat. Sanggup dibuang keluarga kerana menconteng arang ke muka mereka semata-mata kerana mengikut nafsu? Sanggup `dibelasah’ kerana merosakkan anak gadis orang? Pendek kata, dunia akan `tunggang-terbalik’!

Kebanyakan remaja yang terbabit dalam hubungan seks ini menyedari bahawa perbuatan mereka itu salah, tetapi rela membiarkan nafsu menguasai diri berbanding akal fikiran yang waras.

Ada juga yang terbabit dalam seks luar nikah ini memberi pelbagai alasan – seperti tekanan hidup – untuk `menghalalkan’ perbuatan mereka.

Bukan itu saja, ada yang melakukan seks oral (hubungan seks yang membabitkan mulut dan alat sulit saja) dengan anggapan bahawa ia ‘ringan’ dan tidak akan menyebabkan kehamilan.

Harus diingat, biarpun tidak menyebabkan kehamilan, ia masih berisiko untuk menyebarkan penyakit kelamin, herpes, sifilis dan hepatitis, sama seperti hubungan seks secara langsung.

Ramai remaja juga menerima perlakuan `intim’ seperti berpeluk, bercium atau seks antara pasangan kekasih, sebagai sesuatu yang normal.

Pihak berkaitan, terutama ibu bapa harus memandang serius perkara ini. Melihatkan peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah dan pengguguran bayi, remaja seharusnya didedahkan mengenai keburukan perbuatan ini pada fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual kepada pelakunya.

Pakar Psikologi dan Ketua Unit Pembangunan Penyelidikan Kesihatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Dr Sarinah Low Abdullah berkata, sesetengah ibu bapa tidak menitikberatkan pendidikan seks kepada anak-anak sehingga menyebabkan anak-anak itu berusaha mendapatkan maklumat yang ‘tidak selamat’ daripada sumber lain seperti rakan, buku, majalah, laman web atau cakera padat video (vcd) lucah.

Katanya, anak-anak ini harus diberi pendidikan nilai dan spiritual, yang akan membantu menjadi benteng menangani gejala tidak sihat.

“Tanpa nilai ini, remaja akan memudah `tergoda’ dengan pujuk rayu dan ajakan untuk melakukan perkara tidak baik kerana tiada disiplin dan prinsip yang kukuh untuk dipegang,” katanya.

Hubungan kekeluargaan yang erat juga mampu menghindarkan golongan remaja daripada melakukan perkara yang negatif dan pada masa yang sama, remaja juga harus berfikir dengan lebih rasional dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya yang tidak baik.

30 peratus remaja `terjebak’…

i-Kon turut menjalankan kajian mengenai isu ini. Kajian ini membabitkan 100 remaja di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, berusia lingkungan 15 tahun ke 30 tahun. Mereka ini terdiri daripada pelajar, penuntut institusi pengajian tinggi dan sebahagiannya sudah memasuki alam pekerjaan.

(Kadar maklum balas adalah 100 peratus – bermakna semua remaja yang didekati bersetuju untuk menyertai kajian ini. Peratusan kadar maklum balas penting bagi menentukan kajian ini sahih dan boleh digunakan)

Responden ini ditemui i-Kon dalam kajian yang dijalankan di pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam dan kedai makan.

Penemuan kami, 31 peratus (31 remaja) mengaku sudah melakukan seks dan tujuh daripadanya (23 peratus daripada 31 remaja) melakukan perbuatan itu ketika belum mencecah usia 15 tahun!

Mengejutkan? Sudah pasti ya kerana di kala usia masih mentah dan kehidupan seharusnya ditumpukan untuk mencapai cita-cita, remaja ini `hanyut’ melayan nafsu atas alasan ingin tahu dan cinta.

Lebih membimbangkan apabila sebahagian besar pelajar iaitu 65 peratus membenarkan pengguguran dilakukan jika mengandung anak luar nikah.

Sikap liberal remaja ini sememangnya `menggerunkan’ dan sewajarnya membuka mata pihak berkaitan untuk melakukan sesuatu kerana ia akan mendorong kepada amalan tidak sihat.

Walaupun kajian ini tidak mewakili keseluruhan remaja di negara ini, ia setidak-tidaknya dapat memberi gambaran mengenai pandangan remaja mengenai isu seks, pemahaman dan tahap kesedaran berhubungnya.


Penemuan lain kajian i-Kon:

57 peratus remaja mengaku pernah bercium, terutama dengan teman istimewa;

69 peratus remaja pernah berpeluk dengan teman istimewa;

80 peratus remaja berpegang tangan dengan teman istimewa;

55 peratus remaja pernah menonton filem lucah;

43 peratus remaja pernah melayari laman web lucah;

Majoriti remaja iaitu 81 peratus mendapatkan maklumat mengenai seks daripada buku dan majalah (bukan bahan bacaan lucah);

72 peratus remaja mendapat maklumat seks daripada rakan;

Kira-kira 30 peratus ke 40 peratus remaja mendapat pengetahuan mengenai seks daripada video, majalah dan laman web lucah;

59 peratus remaja bersetuju penggunaan kondom adalah antara kaedah perancangan keluarga yang berkesan;

Kira-kira 90 peratus remaja menganggap hubungan seks luar nikah sebagai tidak baik dan boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan.

BUNGA YANG CANTIK JARANG HARUM

Wanita sinonim dengan kecantikan. Istilah “cermin” dalam bahasa Arab dekat sangat dengan wanita – kerana cermin itu dekat pula dengan kecantikan. Bercermin untuk kelihatan cantik. Ke mana-mana wanita pergi, cermin ada di sisi.

Bagi yang tidak cantik bagaimana? Mereka bukan wanita?

Tunggu dulu, setiap yang Allah cipta pasti indah kerana Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Tuhan tidak mencipta manusia hodoh, Tuhan hanya mencipta manusia dengan kecantikan berbeza. Jadi, ingat itu… setiap wanita berhak untuk cantik!

Soalnya, di manakah letaknya kecantikan sebenar pada seorang wanita? Kalau kita tanyakan kepada para lelaki maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Ada yang merasakan kecantikan wanitaitu pada wajah, pada bentuk tubuh, pada kebijaksanaan atau pada tingkah lakunya.

Dan pada yang menyatakan kecantikan pada wajah pula terbahagi kepada pelbagai pandangan, ada yang mengatakan kecantikannya terletak pada hidung, pada mata dan sebagainya. Pendekata kecantikan itu bagi anggapan sesetengah orang sangat relatif sifatnya. Lain orang, lain penilaiannya.

Namun sebagai seorang Islam, kita tentulah ada kayu ukur tersendiri untuk menilai kecantikan. Kita tentunya mengukur kecantikan wanita mengikut kayu ukur Islam. Dan tentu sahaja kecantikan yang menjadi penilaian Islam adalah lebih hakiki dan abadi lagi.

Misalnya, kalaulah kecantikan itu hanya terletak pada wajah, wajah itu lambat-laun akan dimakan usia. Itu hanya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit akan berkedut tentulah wajah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

Sebagai hamba Allah, kita hendaklah melihat kecantikan selaras dengan penilaian Allah atas keyakinan apa yang dinilai oleh-Nya lebih tepat dan betul. Apakah kecantikan yang dimaksudkan itu? Kecantikan yang dimaksudkan ialah kecantikan budi pekerti ataupun akhlak. Itulah misi utama kedatangan Rasulullah SAW – untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Kecantikan akhlak jika ada pada seseorang, lebih kekal. Inilah kecantikan yang hakiki mengikut penilaian Allah. Hancur badan dikandung tanah, budi baik di kenang juga. Kecantikan akhlak ini juga adalah satu yang lebih abadi. Kata pepatah lagi, hutang budi dibawa mati. Malah akhlak yang baik juga sangat disukai oleh hati manusia. Contohnya, kalaulah ada orang yang wajahnya sahaja cantik tetapi akhlaknya buruk, pasti dia akan dibenci.

Ya, mata menilai kecantikan pada rupa. Akal menilai pada fikiran. Nafsu menilai pada bentuk tubuh. Tetapi hati tentulah pada akhlak dan budi. Kecantikan akhlak ini diterima oleh semua orang. Katalah orang jujur, siapapun suka. Semua orang sepakat menyayangi orang yang jujur itu disukai. Sedangkan jika menurut ukuran rupa, penilaian manusia tetap tidak sama. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan, ‘beauty in the eye of beholder’.

Rasulullah saw juga telah pernah menegaskan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah. Wanita solehah ialah perhiasan rumah-tangga, perhiasan masyarakat dan perhiasan negara. Jika ada ibu yang solehah, anak-anaknya tentu mendapat manfaat. Mereka akan terdidik dengan baik.

Jika ada isteri yang solehah, suami pun akan mendapat manfaat. Para isteri ini akan memudahkan urusan rumah-tangga, menjalinkan hubungan keluargha dengan penuh kasih-sayang dan lain-lain. Tuturkatanya baik, tingkah lakunya baik, senyumannya menawan dan segala-galanya indah… mereka bayangan bidadari syurga di dunia ini.

Kenapa banyak wanita yang memiliki kecantikan tetapi musnah hidupnya? Ada ungkapan yang berbunyi, kemusnahan akan menimpa bilawanita mula merasai dirinya cantik dan mempamirkan kecantikan. Sejauhmana benarnya, wallahua’lam. Tetapi apa yang pasti, menurut Islam jika kecantikan tidak disertai iman yang kuat, maka pemiliknya akan hilang kawalan diri. Akibatnya ramai wanita cantik diperdayakan oleh syaitan untuk menggoda manusia melakukan kemungkaran. Lihatlah di sekeliling kita. Kata orang, bunga yang cantik jarang yang harum! Ini sudah menjadi sesuatu yang lumrah.

Tanpa iman, kecantikan akan dipergunakan ke arah kejahatan dan kemaksiatan, yang akhirnya akan memusnahkan diri pemiliknya dan orang lain. Cuba kita lihat apa yang terjadi kepada bintang filem barat (di sinipun apa kurangnya), ada yang memporak-perandakan negara, rumah-tangga dan berakhir dengan sakit jiwa dan bunuh diri.

Cantik tidak salah, tetapi salah menggunakan kecantikkan itulah yang salah. Kata orang, wanita yang cantik jarang berakhlak. Umpama bunga yang cantik, jarang yang wangi. Tetapi kalau cantik dan berakhlak pula, inilah yang hebat. Umpama cantiknya wanita solehah pada zaman nabi seperti Siti Aishah RA, Atikah binti Zaid dan lain-lain.

Bagaimana mendapat kecantikan sejati? Perlu kita faham kecantikan itu bermula dari dalam ke luar. Bukan sebaliknya. Oleh itu pertama, tanamkan di dalam hati kita iman yang benar-benar kuat berdasarkan ilmu yang tepat dan penghayatan yang tinggi. Iman itu keyakinan, kasih sayang, kemaafan, sangka baik dan reda. Rasa-rasa ini buktikanlah dengan perbuatan yang baik. Bila hati baik, wajah akan sentiasa cantik.

Jadi perkara kedua ialah susulilah iman itu dengan perbuatan yang baik. Ertinya, kita atur kehidupan mengikut syariat atau peraturan Tuhan. Dan apabila iman ditanam, syariat ditegakkan, akan berbuahlah akhlak yang mulia. Wajah, perilaku dan peribadi kita akan nampak cantik sekali. Inilah yang dikatakan kecantikan yang hakiki. Biar buruk rupa, jangan buruk perangai. Apa gunanya mulut yang cantik kalau kita gunakan untuk mengumpat?

Ya, kecantikan akhlak… boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja, oleh yang rupawan mahupun yang hodoh. Itu bukti keadilan Allah yang mencipta wanita dengan berbagai wajah dan rupa… tapi peluangnya untuk “cantik” tetap serupa!

Program-Program ABJZ

Program ABJZ yang telah dan akan dilaksanakan sepanjang bulan Julai 2009

Telah Dilaksanakan

1. 11 Julai 2009 - TOT ABJZ ZON UTARA - DI HOTEL SERI MALAYSIA PULAU PINANG

2. 15 Julai 2009 - PUSPANITA POLITEKNIK SHAH ALAM


Akan Dilaksanakan

1. 22 Julai 2009 - SMK BATANG KALI

2. 25 Julai 2009 - TOT ABJZ UNTUK MAJLIS GURU ISLAH
(MGI)

3. 29 Julai 2009 - SMK SEKSYEN 27, SHAH ALAM

4. 30 Julai-01 Ogos 2009 - KURSUS PEMBINAAN DIRI BERSAMA MAHASISWA UUM DI NUR BUKIT HIJAU TRAINING & CAMP, KULIM,KEDAH - ditangguhkan krn H1N1

GEJALA SOSIAL ‘PENJAJAHAN’ RESAP DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Ibu bapa perlu suburkan ilmu agama untuk didik remaja supaya hidup berlandaskan syariat


Kenikmatan masa muda hanya datang sekali dalam hidup manusia. Kenikmatan itu tidah harus dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang boleh merencatkan hidup seperti perlakuan negatif yang menyelubungi remaja muda pada era moden hari ini.


Perlakuan seks bebas, lari dari rumah,pembuangan bayi, pengedaran dadah, ponteng sekolah, samseng , adalah `serangan ’ bentuk baru yang menjajah dan menyelinap dalam kehidupan umat Islam hari ini. Hakikatnya , budaya itu berlaku di kalangan anak umat Islam berlatarbelakangkan agama, akademik, profesional, golongan pertengahan, petani, buruh dan sebagainya. Budaya ini tidak mengenal mangsanya.


Kebimbangan ibu bapa terhadap permasalahan remaja masa kinitidak dapat diperkatakan lagi . Anak adalah ujian Allah kepada hamba-Nya. Inilah hakikat yang perlu di telan oleh insan yang mempunyai anak.


Firman Allah yang bermaksud :

` Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.’( Surah al-Anfaal, ayat 28)


Sabda Baginda SAW:

`Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.’ (Hadis riwayat al-Bukhari)


Keutamaaan mendidik anak ialah menyuburkan ilmu agama yang mampu mendasari hidup mereka dengan landasan syariat Islam dan mengajarkan mereka adab serta keelokan akhlak budi pekerti. Ia mampu melastarikan impian setiap ibu bapa supaya anak mereka menjadi remaja berdikari dan mempunyai personaliti baik pada pandangan umumnya dan Khaliq ( Allah ) khasnya.


Pakej lengkap seorang remaja sempurna ialah mempunyai personaliti menarik, sikap positif yang tertanam dalam jiwanya seperti suka membantu orang lain, bersungguh-sungguh, menyayangi diri, ibu bapa dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri serta prihatin.


Namun, realiti yang berlaku, tidak ramai remaja mempunyai personaliti yang baik bagi menggalas harapan agama,bangsa dan negara. Mereka inilah yang perlu diberi perhatian mendepani permasalahan dan menghurai punca segala kekalutan.


Penyakit melanda remaja masa kini sebenarnyasudah lama bertapak disebabkan banyak faktor antaranya suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutama dengan pengaruh media massa dan elektronik.


Zaman ini perempuan Melayu Islam berpakaian serba singkat dan ketat yang menjolok

mata tetapi tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah pelopor kepada melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.


Ramai anak remaja terbabit dalam dunia cinta dan seks bebas tidak dapat dikawal atau dibendung lagi . Budaya itu resapan paling halus dan kian bertapak kukuh dalam urat salur darah mereka. Akibatnya nanti, orang timur tidak dapat dibezakan dengan orang barat, malah lebih teruk lagi.


Minda anak muda dicemar dengan konsep kehidupan bebas yang membawa kepada kecelaruan perlu kepada pembersihan bersifat berterusan, pembenihan dan penyuburan rohaniyang mampu disegarkan dengan Iman dan Islam yang padu.


Pembajaan roh perlu digerakkan dengan lebih progresif dan penuh hikmah. Di samping itu, aspek pendidikan mengenai konsep menjauhi perbuatan mendatangkan bahaya perlu disemat dalam diri anak supaya godaan syaitan dan pengaruh buruk dapat dihindarkan.


Kehidupan negatif melanda anak remaja perlu kepada asas penting iaitu kembali kepada akal budi Islam. Ia harus bermula pada peringkat anak mencapai umur mumayyiz, di mana kewajipan menunaikan solat menjadi wajib.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud: `

Suruhlah anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka ketika 10 tahun jika mereka enggan , dan pisahkan tempat tidur mereka.’’( Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu daud )


Pengabaian terhadap perlaksanaan solat dalam keluarga akan merumitkan keadaan dan mengusutkan lagi suasana. Kegagalan ibu bapa dan anak menghayati ajaran Islam sepenuhnyasebagai cara hidup akan mengundang malapetaka dalam keluarga serta masyarakat.


Buangkan jauh-jauh perasaan putus asa melihat perkembangan negatif berlaku depan mata sebaliknya tanamkan semangat untuk membantu mengubah suasana mendukacitakan kepada suasana menggembirakan.


Anak muda yang leka perlu disedarkan daripada mimpi indah hanya sementara untuk mereka dapat berpijak di bumi yang nyata. Semoga usaha umat Islam memperbaiki kerosakan memberi sinar untuk melihat anak remaja menjadi kumpulan yang akan membina tamadun masa depan yang cemerlang


Masih ada yang sayang : Marilah sama-sama kita berusaha secara berterusan supaya masa muda dapat dimanfaat dan tidak dipersiakan. Berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk melihat anak muda kita TIDAK terus hanyut dibawa oleh kelalian melekakan.

Keluarga Enggan Dedah Kerana Malu

KUALA LUMPUR: Banyak kejadian sumbang mahram atau ‘ditebuk’ ahli keluarga tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana keluarga terbabit lebih mengutamakan kepentingan si pelaku dan ‘menutup malu’ berbanding membela kebajikan mangsa.

Pengerusi Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS) Selangor, Yusnani Abdul Hamid, berkata sepanjang 10 tahun beroperasi, ada pelatih mahu menceritakan peristiwa hitam yang berlaku pada diri mereka, tetapi ramai juga tidak mahu berterus-terang.

“Inilah dilema dialami keluarga yang terbabit dengan kes sumbang mahram. Jika bapa melakukan perkara itu kepada anak, bimbang nanti keluarga itu kehilangan tempat bergantung atau sumber pendapatan, manakala jika abang yang melakukannya, yang kena hukum adalah darah daging sendiri,” katanya.

Menurutnya, Pusat Bimbingan Puteri RS diwujudkan sebagai institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang menjadi mangsa gejala sosial seperti penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan dan sumbang mahram.
Beliau berkata, dalam usaha mencegah gejala sumbang mahram berleluasa, Pusat Bimbingan Remaja Puteri RS menjalankan program Modul Kesihatan Reproduktif Remaja (MKRR) di sekolah menerusi kempen dinamakan Anda Bijak Jauhi Zina.

“Punca utama kes sumbang mahram ialah menonton video lucah. Selain menonton di televisyen dan melayari Internet, ia kini mudah dimuat turun ke telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, menonton video lucah menyebabkan remaja terangsang dan mencari sasaran bagi melampiaskan nafsu, termasuk dengan saudara kandung.

“Ibu bapa juga perlu menerangkan mengenai pendidikan seks kepada anak mengikut kesesuaian umur mereka. Ramai ibu bapa yang janggal untuk menerangkan mengenai pendidikan seks apabila ditanya anak.

“Ada seorang budak bertanya ibunya mengapa dia terangsang apabila melihat iklan yang memaparkan wanita berpakaian seksi. Bagaimanapun, ibunya tidak menjawab.

“Apabila tidak mendapat jawapan, dia mendapatkan maklumat daripada kawan dan menerima maklumat salah,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang mesti ditekankan ialah anak perlu mengetuk pintu bilik ibu bapa dan pada waktu tertentu saja anak boleh masuk bilik tidur orang tua.

“Anak perlu diajar menjaga batas aurat di antara adik-beradik dan tidak boleh mendedahkan aurat sesuka hati. Pada usia tujuh hingga 10 tahun, ibu bapa boleh memberitahu mengenai wanita mengandung.

“Katakan kepada mereka, sebelum seseorang mengandung, dia perlu berkahwin terlebih dulu dan hidup bersama. Setakat itu saja penerangannya.

“Apabila berusia 12 tahun, ibu bapa perlu berperanan sebagai kawan kepada anak. Antara punca rangsangan seks seharian di rumah ialah berpakaian seksi, bercakap lucah dan bersolek keterlaluan. Selain itu persekitaran tempat tinggal yang tidak sesuai juga mempengaruhi kejadian itu.

“Asingkan tempat tidur antara anak perempuan dengan anak lelaki untuk mengelak berlakunya sumbang mahram,” katanya.

Menurutnya, ketika program Kempen Anda Bijak Jauhi Zina diadakan, seorang murid bercerita mengenai tindakannya dan adik-beradik mengintai ibu bapa mereka melakukan seks menerusi lubang di bilik tidur.

Lubang pada bilik tidur itu tidak pernah ditutup oleh orang tuanya, menyebabkan anak melihat perkara tidak sepatutnya.

“Apabila kes seumpama ini berlaku, apa tugas kita? Biar tahu daripada tidak tahu dan ambil tindakan sewajarnya, bukan menyembunyikan perkara itu demi menutup malu. Ini kerana, jika dibiarkan, perbuatan sama akan dilakukan pelaku terhadap orang lain pula,” katanya.

Alamat Pejabat Raudhatus Sakinah

ALAMAT PEJABAT RS CAWANGAN

RS Selangor
Lot 300.2 Lorong Selangor
Pusat Bandar Melawati
53100 Kuala Lumpur
Tel :03-41073379
H/P:013-3893379
Fax:03-41071754
Blog:http://raudhatussakinahpusat.blogspot.com


RS Kelantan
Tingkat 1, Lot 2861 Jalan Abd Kadir Adabi
Paya Bemban
15200 Kota Bharu, Kelantan.
Tel :09-7449162
H/P:013-9964077
Fax:09-7478603
Blog:http://rskelantan.blogspot.com


RS Pulau Pinang
No.64 Tingkat 2 Lebuh Bukit Kecil 1
11900 Taman Sri Nibong
Bayan Lepas, Pulau Pinang
Tel : 04-6452740
H/P:016-4982245
Fax : 04-6452740
Blog:http://raudhatussakinah.wordpress.com

RS Johor
No 31 A , Jln Harmoni 12
Taman Desa Skudai
81300 Skudai
Johor Darul Takzim.
Tel : 07- 5579502
Fax : 07- 5579502


Masalah Remaja: Pengkid

Pengkid adalah merujuk kepada remaja perempuan yang mempunyai penampilan seperti lelaki termasuk tingkahlaku, sikap dan tindakan bahkan kecenderungan cinta dan tarikan seksualnya adalah sejenis.


"Istilah pengkid dalam bahasa Melayu merujuk kepada perlakuan seks homoseksualiti dalam kalangan remaja perempuan atau lazimnya disebut lesbian (bahasa Inggeris) dalam kalangan wanita dewasa.. Dalam erti kata yang lebih mudah, mereka adalah kumpulan wanita yang ingin menjadi lelaki, tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dilahirkan sebagai wanita. Mereka berasa malu hanya kerana memikirkan mereka adalah wanita.


Mereka mengetepikan segala ciri-ciri kewanitaan mereka dan sanggup mengikat payu dara mereka agar badan mereka kelihatan leper seperti lelaki yang tulen. Apakah punca berlakunya masalah ini sehingga mereka sanggup menghadapi sebarang halangan dan kepayahan untuk menjadi seorang ‘lelaki’.


Menurut Profesor Madya Mohd. Makzan Musa dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Homoseksualiti yang melibatkan perempuan (pengkid dan lesbian) dikatakan ‘wujud dalam kekaburan' dan bergerak dalam senyap. Isu ini masih dianggap 'rahsia terbuka' yang malu dibincangkan secara terbuka’’.


Menurutnya pola perlakuan seksual manusia mengikut disiplin psikologi Barat diperjelaskan dengan konsep orientasi seksual dalam tiga kategori iaitu heteroseksual (hubungan lelaki dengan wanita), homoseksual (hubungan sejenis sama ada lelaki atau wanita), dan biseksual (hubungan dengan lelaki dan wanita). Beliau mengatakan bahawa homoseksualiti tidak dapat dipisahkan daripada keluarga yang mempengaruhi perkembangan psikoseksual individu. Perkembangan orientasi seksual bermula pada usia muda dan orientasi seksual bukannya satu pilihan. Terdapat andaian bahawa 'jatuh berahi' wujud secara semula jadi. Keadaan ini juga berlaku dalam kalangan lesbian dan gay.



Beliau mengatakan tarikan homoseksual adalah pengalaman biopsikososial yang berlaku dalam diri secara senyap tetap bersifat dinamik. Pembentukan identity homoseksual berlaku mengikut beberapa tahap kekeliruan iaitu perbandingan identity, toleransi identity, penerimaan identity, dan sintesis identity.



Homoseksualiti berlaku disebabkan oleh masalah didikan, hubungan dan layanan antara ibu bapa dengan anak pada masa kecil, pengaruh rakan sebaya, persahabatan yang terlalu rapat sesama jantina yang dikaburi dengan nama "kawan rapat", "adik angkat", serta "kakak angkat" yang dirujuk sebagai antara faktor nurture. Homoseksualiti dipercayai bermula pada peringkat sekolah berasrama, pusat pengajian tinggi, dan terus diamalkan semasa bekerja.


Dekan Fakulti Sastera dan Sains Teknologi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula mengatakan bahawa masalah pengkid ini adalah disebabkan oleh mereka terperangkap dalam proses urbanisasi dan globalisasi yang mengamalkan dasar langit terbuka. Menurut beliau dasar langit terbuka ini tidak menyediakan sebarang ‘perlindungan’ moral dan agama. Walaupun pendidikan agama telah diberi sejak sekolah rendah tetapi ia terlalu asas tidak mampu menahan serangan daripada luar.


Selain daripada itu, dasar langit terbuka juga menyebabkan banyak maklumat diperoleh termasuk tayangan filem asing yang banyak ‘bermain dengan nafsu’. Filem komersial yang mengandungi unsur kelucahan secara halus amat mempengaruhi pembentukan akhlak penonton. Mereka yang rapuh iman dan kurang penghayatan dalam agama amat mudah dipengaruhi oleh anasir asing yang jahat tersebut.


Beliau juga mengatakan bahawa golongan pengkid ini terbawa-bawa dengan pengaruh gerakan kebebasan hak manusia sedunia yang menggalakkan hubungan homoseksual. Gerakan ini dipelopori oleh negara Eropah, Australia, dan Singapura. Bagi rakyat negara tersebut, budaya homoseksual tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan (jenayah). Gerakan ini mendakwa bahawa mereka bebas melakukan apa sahaja keinginan nafsu mereka tanpa sebarang sekatan. Inilah yang menyebabkan golongan pengkid di negara kita berani melakukan aksi panas mereka dikhalayak ramai walaupun mereka menyedari terdapat banyak mata memandang mereka.


Perkara ini adalah tidak relevan kerana semua bangsa dan agama di dunia ini mengutuk sekeras-kerasnya sistem perkahwinan dan perhubungan sesama jantina kerana ia akan menghancurkan keturunan manusia pada masa hadapan. Gerakan ini merupakan kumpulan manusia yang melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap agama dan bergerak hanya untuk memuaskan nafsu serakah semata-mata.


Mereka telah mengetepikan ajaran Islam dan perintah Allah. Mereka tidak menghiraukan mengenai dosa, perkara yang halal dilakukan atau haram. Mereka melanggar semua perintah Allah. Ini kerana hubungan sejenis adalah haram disisi Islam. Pengharamannya adalah jelas melalui kitab Allah iaitu Al-Quran melalui kisah kaum Nabi LUTH dimana perkampungan mereka (Bandar Sodom) telah diterbalikkan oleh Allah kerana mereka mengamalkan hubungan sejenis walaupun telah dilarang berkali-kali.


Di dalam Islam telah diterangkan bahawa manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik, tetapi boleh menjadi lebih hina berbanding binatang apabila membiarkan akal dikawal oleh hawa nafsu. Golongan Pengkid bertindak berdasarkan nafsu. Mereka mengutamakan kepuasan nafsu mereka berbanding tuntutan dan perintah agama. Sebagai contoh mereka sanggup membelakangkan agama dan menanggung kesakitan iaitu mengikat payu dara dengan ketat agar dapat mencari ‘teman wanita’. Mereka juga sanggup mencuri wang daripada keluarga untuk diberikan kepada ‘teman wanita’ mereka sebagai lambang percintaan mereka.


Mereka melakukan semua ini hanya untuk memuaskan nafsu mereka. Walaupun mereka mempunyai akal tetapi akal mereka dikawal oleh nafsu. Oleh itu, mereka sanggup melakukan sebarang perkara untuk memuaskan nafsu kerana akal mereka telah dikuasai nafsu.


Natijahnya, golongan manusia yang terkeliru dengan jantina, tidak mempunyai pengetahuan agama yang mantap, dan bertuankan hawa nafsu bukannya akal, adalah golongan manusia yang berkemungkinan menjadi pengkid.


Kesimpulannya, sekiranya mereka mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, menerima asuhan keluarga dengan baik, tidak terkeliru dengan jantina, mempunyai jati diri yang kuat, tidak terpengaruh dengan rakan lain dan persekitaran serta sentiasa menggunakan akal untuk berfikir, masalah pengkid ini tidak akan berlaku di negara kita. , Semua pihak harus bertanggung jawab dalam masalah ini kerana mereka menyumbang kepada penyebaran masalah ini.


Search

About this blog

Hakcipta Terpelihara 2009 © Raudhatus Sakinah.
Sebarang cadangan dan komen sila hantarkan kepada ummisofiyyah