GEJALA SOSIAL ‘PENJAJAHAN’ RESAP DALAM KEHIDUPAN MUSLIM

Ibu bapa perlu suburkan ilmu agama untuk didik remaja supaya hidup berlandaskan syariat


Kenikmatan masa muda hanya datang sekali dalam hidup manusia. Kenikmatan itu tidah harus dipersia-siakan dengan melakukan perkara yang boleh merencatkan hidup seperti perlakuan negatif yang menyelubungi remaja muda pada era moden hari ini.


Perlakuan seks bebas, lari dari rumah,pembuangan bayi, pengedaran dadah, ponteng sekolah, samseng , adalah `serangan ’ bentuk baru yang menjajah dan menyelinap dalam kehidupan umat Islam hari ini. Hakikatnya , budaya itu berlaku di kalangan anak umat Islam berlatarbelakangkan agama, akademik, profesional, golongan pertengahan, petani, buruh dan sebagainya. Budaya ini tidak mengenal mangsanya.


Kebimbangan ibu bapa terhadap permasalahan remaja masa kinitidak dapat diperkatakan lagi . Anak adalah ujian Allah kepada hamba-Nya. Inilah hakikat yang perlu di telan oleh insan yang mempunyai anak.


Firman Allah yang bermaksud :

` Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.’( Surah al-Anfaal, ayat 28)


Sabda Baginda SAW:

`Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka.’ (Hadis riwayat al-Bukhari)


Keutamaaan mendidik anak ialah menyuburkan ilmu agama yang mampu mendasari hidup mereka dengan landasan syariat Islam dan mengajarkan mereka adab serta keelokan akhlak budi pekerti. Ia mampu melastarikan impian setiap ibu bapa supaya anak mereka menjadi remaja berdikari dan mempunyai personaliti baik pada pandangan umumnya dan Khaliq ( Allah ) khasnya.


Pakej lengkap seorang remaja sempurna ialah mempunyai personaliti menarik, sikap positif yang tertanam dalam jiwanya seperti suka membantu orang lain, bersungguh-sungguh, menyayangi diri, ibu bapa dan masyarakat, tidak mementingkan diri sendiri serta prihatin.


Namun, realiti yang berlaku, tidak ramai remaja mempunyai personaliti yang baik bagi menggalas harapan agama,bangsa dan negara. Mereka inilah yang perlu diberi perhatian mendepani permasalahan dan menghurai punca segala kekalutan.


Penyakit melanda remaja masa kini sebenarnyasudah lama bertapak disebabkan banyak faktor antaranya suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutama dengan pengaruh media massa dan elektronik.


Zaman ini perempuan Melayu Islam berpakaian serba singkat dan ketat yang menjolok

mata tetapi tidak dapat menerima pendapat bahawa merekalah pelopor kepada melonjaknya jumlah kes rogol dan pencabulan kehormatan.


Ramai anak remaja terbabit dalam dunia cinta dan seks bebas tidak dapat dikawal atau dibendung lagi . Budaya itu resapan paling halus dan kian bertapak kukuh dalam urat salur darah mereka. Akibatnya nanti, orang timur tidak dapat dibezakan dengan orang barat, malah lebih teruk lagi.


Minda anak muda dicemar dengan konsep kehidupan bebas yang membawa kepada kecelaruan perlu kepada pembersihan bersifat berterusan, pembenihan dan penyuburan rohaniyang mampu disegarkan dengan Iman dan Islam yang padu.


Pembajaan roh perlu digerakkan dengan lebih progresif dan penuh hikmah. Di samping itu, aspek pendidikan mengenai konsep menjauhi perbuatan mendatangkan bahaya perlu disemat dalam diri anak supaya godaan syaitan dan pengaruh buruk dapat dihindarkan.


Kehidupan negatif melanda anak remaja perlu kepada asas penting iaitu kembali kepada akal budi Islam. Ia harus bermula pada peringkat anak mencapai umur mumayyiz, di mana kewajipan menunaikan solat menjadi wajib.


Sabda Nabi SAW yang bermaksud: `

Suruhlah anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka ketika 10 tahun jika mereka enggan , dan pisahkan tempat tidur mereka.’’( Hadis riwayat Al-Hakim dan Abu daud )


Pengabaian terhadap perlaksanaan solat dalam keluarga akan merumitkan keadaan dan mengusutkan lagi suasana. Kegagalan ibu bapa dan anak menghayati ajaran Islam sepenuhnyasebagai cara hidup akan mengundang malapetaka dalam keluarga serta masyarakat.


Buangkan jauh-jauh perasaan putus asa melihat perkembangan negatif berlaku depan mata sebaliknya tanamkan semangat untuk membantu mengubah suasana mendukacitakan kepada suasana menggembirakan.


Anak muda yang leka perlu disedarkan daripada mimpi indah hanya sementara untuk mereka dapat berpijak di bumi yang nyata. Semoga usaha umat Islam memperbaiki kerosakan memberi sinar untuk melihat anak remaja menjadi kumpulan yang akan membina tamadun masa depan yang cemerlang


Masih ada yang sayang : Marilah sama-sama kita berusaha secara berterusan supaya masa muda dapat dimanfaat dan tidak dipersiakan. Berdoa dan bertawakkal kepada Allah untuk melihat anak muda kita TIDAK terus hanyut dibawa oleh kelalian melekakan.

0 comments:

Post a Comment

Search

About this blog

Hakcipta Terpelihara 2009 © Raudhatus Sakinah.
Sebarang cadangan dan komen sila hantarkan kepada ummisofiyyah