Masalah Remaja: Pengkid

Pengkid adalah merujuk kepada remaja perempuan yang mempunyai penampilan seperti lelaki termasuk tingkahlaku, sikap dan tindakan bahkan kecenderungan cinta dan tarikan seksualnya adalah sejenis.


"Istilah pengkid dalam bahasa Melayu merujuk kepada perlakuan seks homoseksualiti dalam kalangan remaja perempuan atau lazimnya disebut lesbian (bahasa Inggeris) dalam kalangan wanita dewasa.. Dalam erti kata yang lebih mudah, mereka adalah kumpulan wanita yang ingin menjadi lelaki, tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka telah dilahirkan sebagai wanita. Mereka berasa malu hanya kerana memikirkan mereka adalah wanita.


Mereka mengetepikan segala ciri-ciri kewanitaan mereka dan sanggup mengikat payu dara mereka agar badan mereka kelihatan leper seperti lelaki yang tulen. Apakah punca berlakunya masalah ini sehingga mereka sanggup menghadapi sebarang halangan dan kepayahan untuk menjadi seorang ‘lelaki’.


Menurut Profesor Madya Mohd. Makzan Musa dari Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Utara Malaysia, Homoseksualiti yang melibatkan perempuan (pengkid dan lesbian) dikatakan ‘wujud dalam kekaburan' dan bergerak dalam senyap. Isu ini masih dianggap 'rahsia terbuka' yang malu dibincangkan secara terbuka’’.


Menurutnya pola perlakuan seksual manusia mengikut disiplin psikologi Barat diperjelaskan dengan konsep orientasi seksual dalam tiga kategori iaitu heteroseksual (hubungan lelaki dengan wanita), homoseksual (hubungan sejenis sama ada lelaki atau wanita), dan biseksual (hubungan dengan lelaki dan wanita). Beliau mengatakan bahawa homoseksualiti tidak dapat dipisahkan daripada keluarga yang mempengaruhi perkembangan psikoseksual individu. Perkembangan orientasi seksual bermula pada usia muda dan orientasi seksual bukannya satu pilihan. Terdapat andaian bahawa 'jatuh berahi' wujud secara semula jadi. Keadaan ini juga berlaku dalam kalangan lesbian dan gay.



Beliau mengatakan tarikan homoseksual adalah pengalaman biopsikososial yang berlaku dalam diri secara senyap tetap bersifat dinamik. Pembentukan identity homoseksual berlaku mengikut beberapa tahap kekeliruan iaitu perbandingan identity, toleransi identity, penerimaan identity, dan sintesis identity.



Homoseksualiti berlaku disebabkan oleh masalah didikan, hubungan dan layanan antara ibu bapa dengan anak pada masa kecil, pengaruh rakan sebaya, persahabatan yang terlalu rapat sesama jantina yang dikaburi dengan nama "kawan rapat", "adik angkat", serta "kakak angkat" yang dirujuk sebagai antara faktor nurture. Homoseksualiti dipercayai bermula pada peringkat sekolah berasrama, pusat pengajian tinggi, dan terus diamalkan semasa bekerja.


Dekan Fakulti Sastera dan Sains Teknologi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pula mengatakan bahawa masalah pengkid ini adalah disebabkan oleh mereka terperangkap dalam proses urbanisasi dan globalisasi yang mengamalkan dasar langit terbuka. Menurut beliau dasar langit terbuka ini tidak menyediakan sebarang ‘perlindungan’ moral dan agama. Walaupun pendidikan agama telah diberi sejak sekolah rendah tetapi ia terlalu asas tidak mampu menahan serangan daripada luar.


Selain daripada itu, dasar langit terbuka juga menyebabkan banyak maklumat diperoleh termasuk tayangan filem asing yang banyak ‘bermain dengan nafsu’. Filem komersial yang mengandungi unsur kelucahan secara halus amat mempengaruhi pembentukan akhlak penonton. Mereka yang rapuh iman dan kurang penghayatan dalam agama amat mudah dipengaruhi oleh anasir asing yang jahat tersebut.


Beliau juga mengatakan bahawa golongan pengkid ini terbawa-bawa dengan pengaruh gerakan kebebasan hak manusia sedunia yang menggalakkan hubungan homoseksual. Gerakan ini dipelopori oleh negara Eropah, Australia, dan Singapura. Bagi rakyat negara tersebut, budaya homoseksual tidak lagi dianggap sebagai satu kesalahan (jenayah). Gerakan ini mendakwa bahawa mereka bebas melakukan apa sahaja keinginan nafsu mereka tanpa sebarang sekatan. Inilah yang menyebabkan golongan pengkid di negara kita berani melakukan aksi panas mereka dikhalayak ramai walaupun mereka menyedari terdapat banyak mata memandang mereka.


Perkara ini adalah tidak relevan kerana semua bangsa dan agama di dunia ini mengutuk sekeras-kerasnya sistem perkahwinan dan perhubungan sesama jantina kerana ia akan menghancurkan keturunan manusia pada masa hadapan. Gerakan ini merupakan kumpulan manusia yang melepaskan diri daripada tanggungjawab terhadap agama dan bergerak hanya untuk memuaskan nafsu serakah semata-mata.


Mereka telah mengetepikan ajaran Islam dan perintah Allah. Mereka tidak menghiraukan mengenai dosa, perkara yang halal dilakukan atau haram. Mereka melanggar semua perintah Allah. Ini kerana hubungan sejenis adalah haram disisi Islam. Pengharamannya adalah jelas melalui kitab Allah iaitu Al-Quran melalui kisah kaum Nabi LUTH dimana perkampungan mereka (Bandar Sodom) telah diterbalikkan oleh Allah kerana mereka mengamalkan hubungan sejenis walaupun telah dilarang berkali-kali.


Di dalam Islam telah diterangkan bahawa manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik, tetapi boleh menjadi lebih hina berbanding binatang apabila membiarkan akal dikawal oleh hawa nafsu. Golongan Pengkid bertindak berdasarkan nafsu. Mereka mengutamakan kepuasan nafsu mereka berbanding tuntutan dan perintah agama. Sebagai contoh mereka sanggup membelakangkan agama dan menanggung kesakitan iaitu mengikat payu dara dengan ketat agar dapat mencari ‘teman wanita’. Mereka juga sanggup mencuri wang daripada keluarga untuk diberikan kepada ‘teman wanita’ mereka sebagai lambang percintaan mereka.


Mereka melakukan semua ini hanya untuk memuaskan nafsu mereka. Walaupun mereka mempunyai akal tetapi akal mereka dikawal oleh nafsu. Oleh itu, mereka sanggup melakukan sebarang perkara untuk memuaskan nafsu kerana akal mereka telah dikuasai nafsu.


Natijahnya, golongan manusia yang terkeliru dengan jantina, tidak mempunyai pengetahuan agama yang mantap, dan bertuankan hawa nafsu bukannya akal, adalah golongan manusia yang berkemungkinan menjadi pengkid.


Kesimpulannya, sekiranya mereka mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, menerima asuhan keluarga dengan baik, tidak terkeliru dengan jantina, mempunyai jati diri yang kuat, tidak terpengaruh dengan rakan lain dan persekitaran serta sentiasa menggunakan akal untuk berfikir, masalah pengkid ini tidak akan berlaku di negara kita. , Semua pihak harus bertanggung jawab dalam masalah ini kerana mereka menyumbang kepada penyebaran masalah ini.


0 comments:

Post a Comment

Search

About this blog

Hakcipta Terpelihara 2009 © Raudhatus Sakinah.
Sebarang cadangan dan komen sila hantarkan kepada ummisofiyyah