Keluarga Enggan Dedah Kerana Malu

KUALA LUMPUR: Banyak kejadian sumbang mahram atau ‘ditebuk’ ahli keluarga tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana keluarga terbabit lebih mengutamakan kepentingan si pelaku dan ‘menutup malu’ berbanding membela kebajikan mangsa.

Pengerusi Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah (RS) Selangor, Yusnani Abdul Hamid, berkata sepanjang 10 tahun beroperasi, ada pelatih mahu menceritakan peristiwa hitam yang berlaku pada diri mereka, tetapi ramai juga tidak mahu berterus-terang.

“Inilah dilema dialami keluarga yang terbabit dengan kes sumbang mahram. Jika bapa melakukan perkara itu kepada anak, bimbang nanti keluarga itu kehilangan tempat bergantung atau sumber pendapatan, manakala jika abang yang melakukannya, yang kena hukum adalah darah daging sendiri,” katanya.

Menurutnya, Pusat Bimbingan Puteri RS diwujudkan sebagai institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja yang menjadi mangsa gejala sosial seperti penderaan, penganiayaan, pengabaian, tekanan psikologi, perkosaan dan sumbang mahram.
Beliau berkata, dalam usaha mencegah gejala sumbang mahram berleluasa, Pusat Bimbingan Remaja Puteri RS menjalankan program Modul Kesihatan Reproduktif Remaja (MKRR) di sekolah menerusi kempen dinamakan Anda Bijak Jauhi Zina.

“Punca utama kes sumbang mahram ialah menonton video lucah. Selain menonton di televisyen dan melayari Internet, ia kini mudah dimuat turun ke telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, menonton video lucah menyebabkan remaja terangsang dan mencari sasaran bagi melampiaskan nafsu, termasuk dengan saudara kandung.

“Ibu bapa juga perlu menerangkan mengenai pendidikan seks kepada anak mengikut kesesuaian umur mereka. Ramai ibu bapa yang janggal untuk menerangkan mengenai pendidikan seks apabila ditanya anak.

“Ada seorang budak bertanya ibunya mengapa dia terangsang apabila melihat iklan yang memaparkan wanita berpakaian seksi. Bagaimanapun, ibunya tidak menjawab.

“Apabila tidak mendapat jawapan, dia mendapatkan maklumat daripada kawan dan menerima maklumat salah,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang mesti ditekankan ialah anak perlu mengetuk pintu bilik ibu bapa dan pada waktu tertentu saja anak boleh masuk bilik tidur orang tua.

“Anak perlu diajar menjaga batas aurat di antara adik-beradik dan tidak boleh mendedahkan aurat sesuka hati. Pada usia tujuh hingga 10 tahun, ibu bapa boleh memberitahu mengenai wanita mengandung.

“Katakan kepada mereka, sebelum seseorang mengandung, dia perlu berkahwin terlebih dulu dan hidup bersama. Setakat itu saja penerangannya.

“Apabila berusia 12 tahun, ibu bapa perlu berperanan sebagai kawan kepada anak. Antara punca rangsangan seks seharian di rumah ialah berpakaian seksi, bercakap lucah dan bersolek keterlaluan. Selain itu persekitaran tempat tinggal yang tidak sesuai juga mempengaruhi kejadian itu.

“Asingkan tempat tidur antara anak perempuan dengan anak lelaki untuk mengelak berlakunya sumbang mahram,” katanya.

Menurutnya, ketika program Kempen Anda Bijak Jauhi Zina diadakan, seorang murid bercerita mengenai tindakannya dan adik-beradik mengintai ibu bapa mereka melakukan seks menerusi lubang di bilik tidur.

Lubang pada bilik tidur itu tidak pernah ditutup oleh orang tuanya, menyebabkan anak melihat perkara tidak sepatutnya.

“Apabila kes seumpama ini berlaku, apa tugas kita? Biar tahu daripada tidak tahu dan ambil tindakan sewajarnya, bukan menyembunyikan perkara itu demi menutup malu. Ini kerana, jika dibiarkan, perbuatan sama akan dilakukan pelaku terhadap orang lain pula,” katanya.

1 comments:

mackenzeyzaffuto March 6, 2022 at 12:10 AM  

Blue Titanium Art - TITanium Art - TITanium Art
Blue 2020 escape titanium Titanium Art titanium daith jewelry at TITanium Art. This acrylic painting is apple watch series 6 titanium acrylic artwork titanium price per ounce designed ecm titanium for a variety of sizes and is made in USA.

Post a Comment

Search

About this blog

Hakcipta Terpelihara 2009 © Raudhatus Sakinah.
Sebarang cadangan dan komen sila hantarkan kepada ummisofiyyah